RSS FEED
Mengenai blog ini...
Apakah yang mencetuskan ilham yang membawa kepada penemuan saintifik dan penciptaan sesuatu yang baru. Kadangkala idea timbul menggunakan cara yang ganjil dan tidak disangka-sangka atau tidak sengaja. Tentunya ahli sains dan pencipta tidak mengharapkan sesuatu yang tidak disengajakan untuk mencapai kejayaan. Tetapi kesilapan kecil, kebetulan atau takdir nasib boleh berlaku setiap masa. Takdir selalu memainkan peranan dalam ciptaan sains. Kebolehan membuat penemuan yang tidak dijangka dan secara kebetulan dipanggil Serendipity
Idea Spontan
--------------

Bagaimana ubat bius pertama ditemui

HORACE WELLS - 1844
HANYA SATU SEDUT

Di sebuah dewan di Hartford, Connecticut yang penuh dan padat sehingga melimpah—limpah dengan orang ramai. Di antara penonton-penonton, duduk seorang pemuda, Samuel Cooley dan kawannya, Horace Wells, seorang doktor gigi. Kedua-dua mereka pasti terperanjat dengan apa yang akan mereka lalui. Cooley tidak menyangka bahawa dia akan menjadi bahan hiburan. Wells tidak menyangka dia akan menukar perjalanan sejarah perubatan.


Apabila penceramah memanggil orang naik ke pentas untuk mengambil bahagian dalam satu eksperimen secara sukarela, Cooley berjalan dengan gaya mendada di hadapan penonton. Sudikah dia menghidu sedikit gas dari bekas ini untuk mendemonstrasikan kesannya kepada orang lain, tanya penceramah itu. Kerana tidak mahu mengalah, Cooley bersetuju.

Gas itu ialah nitrus oksida. Nitrus oksida baru sahaja ditemui dan kesannya yang luar biasa menjadi bahan hiburan di majlis seperti ini. Satu sedut sudah cukup untuk menyebabkan orang itu ketawa berdekah-dekah, seperti seorang badut yang sedang gelak besar menghiburkan mereka yang sedang menonton. Kesan ini menyebabkan orang memanggil nitrus oksida ini dengan nama yang lain — gas ketawa.

Cooley menyedut dalam dan ketawa seperti orang gila. Kemudiannya, seperti kadang—kadang reaksi yang dihasilkan oleh gas ini, anginnya bertukar. Dia menjadi ganas, bergelut dengan penonton yang ada di situ dan cuba mencari gaduh. Dia jatuh dengan teruk, kemudian dia berusaha untuk bangun semula. Pukulan yang diterima seterusnya itu terus mendiamkan dia dan dia pulang ke tempat duduknya di sebelah Wells.

Orang lain dipanggil pula naik ke pentas secara sukarela dan demontrasi itu diteruskan. Apabila salah seorang daripada penonton di situ memusingkan kepalanya ke arah Cooley, perhatiannya tertumpu kepada lumuran darah yang terkumpul di bawah kerusinya. Pada kaki Cooley terdapat luka yang dalam dan darah keluar dengan banyak. Bila diberitahu tentang kecederaannya, Cooley terkejut. Dia tidak berasa sakit langsung.

Wells, seorang doktor gigi sedar akan kepentingan peristiwa ini. Jika nitrus oksida boleh menumpulkan deria seseorang, mungkin ia boleh melenyapkan kesakitan semasa pembedahan. Wells tidak membuang masa untuk membuktikan teorinya ini. Beliau mempunyai satu gigi geraham yang sudah rosak yang membuatkan dia berasa sangat sakit, jadi dia mengumpul beberapa orang saksi dan meminta rakan sekerjanya mencabut giginya. Tetapi sebelum doktor gigi itu memulakan kerjanya, Wells menyedut nitrus oksida dan terus tidak sedar.

Semasa dia tidak sedar, rakan sekerjanya mencabut giginya. Seperti yang beliau jangka, Wells tidak berasa sakit langsung. Pengalamannya yang menggalakkan itu mendorong Wells untuk mengatur demontrasi yang lebih besar, kali ini di hadapan doktor dan doktor gigi di Massachusetts General Hospital di Boston. Dia memberi seorang pesakit yang rela mengikuti demonstrasi itu satu dos nitrus oksida, kemudian mencabut gigi pesakit itu. Tetapi pesakit itu menjerit dan meraung kesakitan dan membuatkan Wells terkejut. Kerana gementar beliau dengan tidak sengaja telah mula mencabut gigi sebelum gas itu memberi kesan kepada pesakit. Penonton mencemuh dan mula mengejek.

Wells meninggalkan dewan dalam keadaan yang sungguh memalukan, reputasinya terjejas dengan teruk. Wells berhenti daripada menjadi seorang doktor gigi tetapi demonstrasi beliau menarik minat mereka yang terus membuat eksperimen dengan nitrus oksida dan lain-lain ubat penahan sakit. Hari ini, kita patut berterima kasih kepada Wells dan perintis perubatan, kerana membolehkan kita menghadapi rawatan gigi yang tidak menyakitkan, tidak seperti dahulu.

2 comments:

Cendol

nice nice one ! baru tahu :D nice blog keep it up!

Unknown

thank's for share it...keep post...

Post a Comment

Return top