RSS FEED
Mengenai blog ini...
Apakah yang mencetuskan ilham yang membawa kepada penemuan saintifik dan penciptaan sesuatu yang baru. Kadangkala idea timbul menggunakan cara yang ganjil dan tidak disangka-sangka atau tidak sengaja. Tentunya ahli sains dan pencipta tidak mengharapkan sesuatu yang tidak disengajakan untuk mencapai kejayaan. Tetapi kesilapan kecil, kebetulan atau takdir nasib boleh berlaku setiap masa. Takdir selalu memainkan peranan dalam ciptaan sains. Kebolehan membuat penemuan yang tidak dijangka dan secara kebetulan dipanggil Serendipity
Idea Spontan
--------------

Bagaimana produk daripada getah berjaya dihasilkan

CHARLES GOODYEAR — 1839
GETAH YANG HANGUS
Untuk sebahagian besar hidupnya, Charles Goodyear terlalu banyak memikirkan tentang getah. Bahan lembut dan menganjal ini memberikan Goodyear pengiktirafan dan kebanggaan — juga kemiskinan dan kekalahan.

Perasaan terpesona Goodyear dengan getah bermula dengan tidak sengaja. Pada satu hari pada 1834, jurujual yang menganggur ini tertarik dengan pelampung keselamatan getah yang dipamerkan di tingkap sebuah kedai di New York. Dia memeriksanya dengan teliti dan mendapati kecacatan pada produk itu. Dia bergegas pulang ke rumahnya, mereka cipta satu injap baru untuk pelampung itu dan dalam beberapa hari memulangkannya ke kedai itu.


Dia pasti yang pengilang itu akan membeli ciptaannya yang baru itu. Tetapi dia tersilap. Masalah dengan pelampung keselamatan itu, dia diberitahu, bukannya injap tetapi getahnya. Walaupun getah mempunyai keanjalan yang hebat, ia mempunyai kelemahan. Dalam keadaan cuaca sejuk, ia menjadi sangat rapuh sehingga ia pecah menjadi serpihan; dalam cuaca panas ia menjadi melekit dan mengeluarkan bau busuk.

"Cari penyelesaian kepada masalah itu", kata pengilang itu kepada Goodyear, dan syarikatnya akan membayar wang yang banyak untuk rahsia itu. Sejak dari itu, Charles Goodyear seperti ketagih dengan getah.

Dengan duitnya yang tidak seberapa, dia membeli kepingan-kepingan besar getah. Mencincangnya menjadi ketulan kecil, melonggokkannya ke dalam kuali, menambah kimia, mengacau dan memanaskan campuran itu
di atas dapurnya. Kemudian dia memakukan sampel getah yang berlainan di sekeliling rumahnya untuk melihat kesan suhu ke atasnya.


Selama lima tahun Goodyear menumpukan perhatian kepada eksperimennya. Dia menjadi penat, pucat dan tidak sihat. Sedikit demi sedikit rumahnya menjadi kosong, satu demi satu, dia menjual barangan rumahnya supaya dia boleh membeli makanan dan pakaian untuk keluarganya dan tentunya, lebih banyak getah untuk eksperimennya.

Walaupun menghadapi banyak kegagalan, Goodyear tidak pernah putus asa. Tetapi, dengan tidak disangka, pada tahun 1839, satu kemalangan kecil telah mengubah hidupnya. Dia sedang membuat eksperimen pada satu hari dengan kumpulan getah, sulfur dan plumbum putih. Sambil dia mengacau campuran itu, ia terpercik diatas dapur yang panas. Ia tidak cair, seperti yang dijangka oleh Goodyear; ia berdesir dan hangus di bahagian tepinya. Hairan dengan reaksi yang ganjil ini, Goodyear menjatuhkan satu lagi cairan getah diatas dapur. Kali ini dia dapat melihat satu rim nipis getah di antara tepian yang hangus dan bahan yang selebihnya.

Dia rnendapati rim ini fleksibel dan boleh dibentuk, seperti getah, tetapi tidak menjadi rapuh bila sejuk dan melekit bila panas. Goodyear telah hampir menyelesaikan masalah. Dia menamakan penemuannya ini getah yang divulkan sempena Vulcan, dewa api Rom.

Goodyear telah menjumpai kombinasi kimia yang tepat untuk membuat getah yang divulkan. Cuma satu soalan perlu dijawab - berapa banyak haba yang diperlukan?

Untuk lima tahun yang seterusnya, Goodyear sentiasa menjalankan eksperimen di dapur rumahnya, mencuba untuk mencari jawapannya. Kesihatannya semakin merosot dan keluarganya menjadi semakin miskin kerana
usahanya untuk membiayai eksperimennya.

Berkemungkinan ejekan yang terpaksa dihadapi oleh Goodyear lebih teruk daripada kesihatannya dan kemiskinannya. Tiada siapa yang mengambil peduli tentang kerjanya. Lagipun, dia telah gagal banyak kali sebelum ini. Sekarang orang mentertawakannya bila dia mendakwa bahawa haba, faktor yang menyebabkan getah melekit, diperlukan untuk menghilangkan sifat melekit ini.

Akhirnya, selepas sepuluh tahun berjuang dan menghadapi malapetaka, prosesnya ini berjaya. Dia dapat membuktikannya. Tetapi walaupun Goodyear mendapat paten untuk getah yang divulkan, dia tidak mendapat kekayaan atau penghormatan yang sepatutnya. Orang lain pula mengakui bahawa mereka telah mencipta getah yang divulkan terlebih dahulu.

Goodyear meneruskan eksperimennya, membangunkan banyak kegunaan untuk getah. Dia menjual rahsianya kepada pengilang. Sementara mereka mendapat keuntungan yang berlipat ganda, Goodyear terus miskin sepanjang hidupnya.

Hari ini kita menghargai getah. Kita boleh menjumpainya di dalam beratus-ratus produk yang berguna, daripada pemadam  pensil kepada alat pembedahan di hospital - terima kasih kepada ketekunan dan rasa
ingin tahu Charles Goodyear.

0 comments:

Post a Comment

Return top