RSS FEED
Mengenai blog ini...
Apakah yang mencetuskan ilham yang membawa kepada penemuan saintifik dan penciptaan sesuatu yang baru. Kadangkala idea timbul menggunakan cara yang ganjil dan tidak disangka-sangka atau tidak sengaja. Tentunya ahli sains dan pencipta tidak mengharapkan sesuatu yang tidak disengajakan untuk mencapai kejayaan. Tetapi kesilapan kecil, kebetulan atau takdir nasib boleh berlaku setiap masa. Takdir selalu memainkan peranan dalam ciptaan sains. Kebolehan membuat penemuan yang tidak dijangka dan secara kebetulan dipanggil Serendipity
Idea Spontan
--------------

Gelatin yang boleh meletup

ALFRED NOBEL — 1875
Cecair yang tumpah

Alfred Nobel mempunyai minat tersendiri dalam letupan. Saudara lelakinya terbunuh dalam satu kemalangan yang melibatkan nitrogliserin di sebuah kilang membuat bahan letupan di Sweden. Pada waktu itu, nitrogliserin digunakan dengan meluas untuk meletupkan batu di lombong dan kuari. Tetapi cecair yang sangat tidak stabil ini selalunya meletup tanpa dijangka, walaupun bekas itu digoncang sedikit sahaja.


Alfred Nobel bertekad untuk mencari cara yang lebih selamat untuk menggunakan nitrogliserin. Dia membuat penemuan bahawa jika nitrogliserin dicampurkan dengan serbuk putih poros yang dipanggil kieselguhr, ia boleh digulung dalam bentuk batang dan boleh dibawa dengan selamat ke mana-mana. Dia memanggil bahan letupan baru ini sebagai dinamit.

Dengan penemuan Nobel ini, bahan letupan yang kuat ini diperangkap dalam bentuk yang selamat dan mudah digunakan. Tidak lama kemudian, dinamit digunakan dengan meluas dalam semua lapangan pembinaan, daripada membina jalan kepada meletupkan terowong di lombong. Alfred Nobel menjadi orang yang kaya, dan dia membuka kilang dinamit di seluruh Eropah.

Nobel meneruskan kajiannya. Pada satu hari pada tahun 1875, semasa dia menjalankan eksperimen dengan nitrogliserin, dia terpotong jarinya. Dengan pantas dia mencapai satu botol kolodian dan menyapu sedikit kolodian ke atas jarinya. Kolodian selalu digunakan di atas luka kerana ia cepat kering dan membentuk satu selaput “kulit” elastik yang boleh menutup luka itu.

Sementara Nobel meneruskan kerjanya dengan nitrogliserin, sedikit daripada bahan itu terjatuh ke atas kolodian. Sungguh mengejutkan apabila kolodian itu bertukar rupa. Bahan seperti gam terbentuk. Berdasarkan firasatnya, Nobel menjalankan beberapa eksperimen yang berlainan. Beliau mendapati bahawa bila satu campuran nitrogliserin dan kolodian yang dibahagikan secara betul dipanaskan, satu bahan jernih  seperti agar-agar terbentuk. Bahan kimia baru itu ialah satu bahan letupan yang lebih kuat berbanding dinamit.

Alfred Nobel memanggil penemuan baru ini, gelatin meletup. Disebabkan kejadian yang tidak disengajakan ini, selalu dikatakan bahawa, “gelatin meletup dilahirkan di jari seorang manusia dan bukannya di dalam tabung uji".

TAHUKAH ANDA?
Pada 1863, seorang pencetak, John Wesley Hyatt mendapati bahawa satu tumpahan kolodian di dalam almari ubatnya  mengeras menjadi satu lapisan jernih. Dia mencampurkan kolodian dengan habuk kayu dan kertas dengan harapan dapat mengeluarkan satu bahan gantian yang keras dan tahan lama berbanding gading. Dia berakhir dengan bahan baru yang lain, seluloid, antara jenis plastik yang terawal.

1 comments:

ilyas Andika

NICE INFO :)
izin follow sob... kalo gak keberatan follow back :) Thank

Post a Comment

Return top