RSS FEED
Mengenai blog ini...
Apakah yang mencetuskan ilham yang membawa kepada penemuan saintifik dan penciptaan sesuatu yang baru. Kadangkala idea timbul menggunakan cara yang ganjil dan tidak disangka-sangka atau tidak sengaja. Tentunya ahli sains dan pencipta tidak mengharapkan sesuatu yang tidak disengajakan untuk mencapai kejayaan. Tetapi kesilapan kecil, kebetulan atau takdir nasib boleh berlaku setiap masa. Takdir selalu memainkan peranan dalam ciptaan sains. Kebolehan membuat penemuan yang tidak dijangka dan secara kebetulan dipanggil Serendipity
Idea Spontan
--------------

Revolusi sebatian organik

FRIEDRICH KEKULE — 1865
Ular Menari

Friedrich Kekulé mempunyai satu masalah untuk diselesaikan, satu masalah yang tidak henti-henti menganggunya. Yang tidak boleh dilupai walaupun semasa dia makan atau memakai baju. Dan masih tidak boleh dilupai semasa dia tidur.


Kekulé ialah seorang ahli kimia Jerman yang bekerja dengan sebatian organik - kimia yang mengandungi atom karbon. Kebanyakan kimia ini bertindak dengan cara yang boleh dijangka dan sifatnya diketahui. Satu sebatian, bagaimanapun, tidak mengikuti peraturan biasa. Benzena bertindak dengan cara lain berbanding sebatian organik yang serupa, dan Kekule berasa hairan.

Sebatian organik yang biasa terdiri daripada rangkaian panjang atom karbon. Dalam tindakan kimia, sebatian baru dikeluarkan. Rangkaian ini menjadi lebih panjang atau lebih pendek apabila atom ditambah atau dikeluarkan. Daripada pengalaman, ahli kimia tahu ada corak yang boleh dijangka pada bilangan atom yang boleh ditambah atau dikeluarkan dari rangkaian — satu peraturan matematik yang atom-atom sepatutnya ikuti.

Tetapi benzena berlainan. Ia tidak mengikut corak, dan ahli kimia seperti Kekulé tidak dapat memberi penjelasan. Apakah yang membuatkan benzena berbeza? Masalah benzena ini menghantui Kekulé. Dia membaca semua maklumat walau sedikit pun mengenai kimia ini. Dia menjalankan eksperimen. Dia mengisi buku notanya dengan maklumat, rajah dan lakaran demi lakaran rangkaian atom yang panjang. Tiada satu pun yang dijumpainya boleh menerangkan tentang tindakan benzena yang ganjil.

Bertahun-tahun Kekulé cuba menyelesaikan masalah ini. Pada satu petang tahun 1865, semasa dia duduk di rumah meneliti notanya, dia berasa sangat letih. Dia memusingkan kerusinya menghadap pendiang dan memerhatikan api yang sedang berkedipan. Kehangatan api itu membuat Kekule tertidur dan dia mula bermimpi. Dalam mimpinya, atom menari di udara. Sesetengah bersambung dengan yang lain untuk membentuk pasangan. Pasangan-pasangan ini pula bercantum dengan pasangan-pasangan lain. Rangkaian atom bercantum dengan rangkaian lain. Rangkaian ini berlingkar dan berpusing seperti ular. Tiba-tiba, salah seekor daripada ular itu membuat satu lingkaran, kepalanya mengejar ekornya sendiri. Kepalanya berjaya menangkap ekornya, dan ular itu berpusing-pusing.

Kekule terjaga dengan tiba-tiba. Ular yang berpusing-pusing?· Mimpinya memberikan dia idea. Sepanjang malam Kekule tidak boleh tidur langsung. Dia duduk di mejanya, menambah lakaran baru dan kiraan dalam buku notanya. Akhirnya dia datang dengan satu usulan yang baru.

Mungkin atom dalam benzena tidak beratur dalam satu rangkaian. Mungkin, di sebaliknya, ia tercantum bersama dalam satu lingkaran seperti ular dalam mimpinya. Ini dapat menerangkan kenapa atom dalam benzena bergabung dengan cara lain berbanding kimia organik yang lain.

Mimpi ganjil Kekule memulakan revolusi dalam kimia. Dengan satu model atom yang boleh diikuti, ahli kimia mula memahami tingkah laku kimia organik. Dengan maklumat ini mereka menjalankan eksperimen, menggabungkan kimia organik dengan beberapa cara untuk mengeluarkan pelbagai produk baru, daripada fabrik yang utuh dan pencelup warna yang berwarna-warni kepada bahan api yang efisien dan ubat—ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa.

0 comments:

Post a Comment

Return top