RSS FEED
Mengenai blog ini...
Apakah yang mencetuskan ilham yang membawa kepada penemuan saintifik dan penciptaan sesuatu yang baru. Kadangkala idea timbul menggunakan cara yang ganjil dan tidak disangka-sangka atau tidak sengaja. Tentunya ahli sains dan pencipta tidak mengharapkan sesuatu yang tidak disengajakan untuk mencapai kejayaan. Tetapi kesilapan kecil, kebetulan atau takdir nasib boleh berlaku setiap masa. Takdir selalu memainkan peranan dalam ciptaan sains. Kebolehan membuat penemuan yang tidak dijangka dan secara kebetulan dipanggil Serendipity
Idea Spontan
--------------

Cara pengiraan pecutan

GALILEO GALILEI — 1581
Candelier yang berayun-ayun

Ia merupakan suatu hari Ahad yang biasa pada tahun 1581 . Beratus—ratus jemaah mengisi katedral besar di Pisa, Itali. Kebanyakan mereka mendengar dengan tekun upacara gereja. Tetapi tidak Galileo Galilei. Sebaliknya, matanya terpaku pada candelier di atas kepalanya. Arus udara yang mengalir melalui katedral yang tinggi menggerakkan candelier itu ke tepi dan ke belakang dan ke hadapan. Kadang-kadang ia bergerak dengan perlahan; kadang-kadang ia berayun-ayun melengkung lebar. Tidak kira saiz ayunannya, bagi Galileo, candelier itu bergerak pada masa yang tidak putus-putus. Pada zaman itu tiada jam atau jam tangan, jadi Galileo merasa denyutan nadi di pergelangan tangannya.
Dia mengukur masa ayunan candelier itu dengan denyutan nadinya. Satu, dua, tiga denyutan untuk satu ayunan. Satu, dua, tiga denyutan untuk satu lagi ayunan. Galileo berasa hairan. Tidak kira betapa luas atau kecil ayunannya, ia berayun mengikut kiraan denyutan yang sama.

Sebaik sahaja upacara itu habis, Galileo berlari pulang. Dengan pantas dia menggantung batu timbang dari satu tali yang panjang. Galileo menarik batu timbang itu untuk jarak yang dekat, melepaskannya dan mengukur masa ayunannya. Dia mencuba sekali lagi, kali ini menarik balik batu timbang itu lebih jauh sebelum melepaskannya. Setelah mencubanya
beberapa kali, Galileo telah mengesahkan jangkaannya — masa yang diambil untuk membuat satu ayunan adalah sama, sama ada ayunan itu luas atau kecil. Galileo telah membuat penemuan mengenai prinsip pendulum.

Galileo mencuba beberapa eksperimen dengan batu ladungnya. Dia mendapati bahawa faktor—faktor lain mempunyai hubungan yang boleh dijangka dengan masa ayunan itu.

Beberapa tahun selepas itu, Galileo hendak membuat eksperimen dengan objek yang sedang jatuh, tetapi dia menghadapi masalah. Bagaimana dia hendak mengukur masa untuk sesuatu yang jatuh dengan begitu pantas? Kemudian dia teringatkan batu ladungnya. Berat batu ladung itu mempunyai sifat yang sama seperti objek yang jatuh — tetapi ia tidak jatuh dengan terus. Ia jatuh pada sudut yang condong dan dengan lebih perlahan jadi masanya mudah dikira.

Galileo mengadaptasikan batu ladung itu sebagai jam. Mula-mula dia mendapatkan satu bod kayu dan mengukir alur yang panjang, lurus dan licin di tengah-tengahnya. Bila dia menaikkan bod itu sedikit pada hujungnya, dia melepaskan satu bola, ia bergolek dengan perlahan didalam alur itu. Galileo menanda dan membahagikan bodnya yang beralur itu kepada bahagian-bahagian kecil yang mempunyai panjang yang sama. Untuk alat ukur masa, dia menggunakan satu bekas berisi air yang mempunyai lubang kecil di bawahnya. Dengan mengira titis air, dia boleh mengira masa. Sekarang dia boleh memulakan eksperimennya.

Dia melepaskan satu bola dari bahagian hujung yang tinggi pada bod itu. Semasa bola itu bergolek, dia mengukur masa yang diambil oleh bola itu untuk melalui setiap bahagian pada bod itu. Sungguh menakjubkan bagi Galileo apabila dia mendapati bola-bola itu tidak bergerak melalui landasan itu pada kadar yang tetap. Sebaliknya, ia menjadi lebih laju — atau memecut — bila ia bergerak lebih jauh ke bawah alur. Objek yang sedang jatuh, dia mendapati, memecut semakin dekat ia jatuh ke bumi.

Selepas beberapa eksperimen, Galileo berupaya menghasilkan formula matematik untuk menolong dia mengira pecutan objek yang jatuh. Untuk menjelaskan teorinya ini, Galileo telah membuat ramalan berapa jauh peluru meriam boleh ditembak dari meriam.

Dalam banyak cara, candelier yang berayun-ayun itu telah memulakan satu revolusi dalam dunia sains. Galileo membuktikan bahawa ukuran dan eksperimen boleh digunakan untuk memeriksa pemerhatian, untuk membuktikan hukum alamiah tanpa ragu-ragu. Dan tentunya dia menjadi perintis kepada kaedah saintifik ahli sains dan pelajar-pelajar sains yang masih gunakan sehingga hari ini!

0 comments:

Post a Comment

Return top